NOTE


FORMAT RANCANGAN PERNIAGAAN

Perbezaan tujuan menulis Rancangan Perniagaan mengakibatkan kepada kelainan dalam format satu Rancangan Perniagaan daripada yang lain. Di antaranya, institusi kewangan mempunyai format rancangan perniagaan mereka tersendiri. Namun demikian, isi kandungannya tetap sama, cuma bezanya mungkin dari segi persembahannya. Rancangan Perniagaan yang formal mengandungi perkara-perkara penting seperti berikut (Ismail et al., 2008):-


Ringkasan Eksekutif atau Abstrak

Bahagian ini merupakan antara bahagian terpenting dalam rancangan perniagaan kerana ia ditulis untuk meyakinkan pembaca tentang potensi projek yang bakal diusahakan. Ringkasan eksekutif ditulis antara satu hingga dua halaman dan diletakkan selepas halaman tajuk. Bahagian ini menerangkan rancangan perniagaan secara menyeluruh yang merangkumi maklumat ringkas mengenai tujuan rancangan perniagaan disediakan, maklumat mengenai barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan, justifikasi terhadap pemilihan projek dan potensi projek.


Pengenalan

Dalam aspek pengenalan pula, pengenalan mengandungi lokasi perniagaan, tarikh perniagaan dijalankan serta menyatakan jenis perniagaan yang dijalankan. Pengenalan juga merupakan latarbelakang dan corak industri perniagaan yang diceburi. (maklumat perlu disokong dengan fakta-fakta yang sebenar dan realistik). Pengenalan juga merupakan profil perniagaan yang menerangkan maklumat latar belakang perniagaan seperti maklumat penubuhan dan pemilikan perniagaan.


Tujuan

Nyatakan dengan jelas tentang tujuan penyediaan rancangan perniagaan. Sebagai contoh, penyediaan rancangan perniagaan untuk memohon sejumlah pembiayaan modal atau tapak perniagaan dari SME Bank. dan sebagainya. Tujuan perlu dinyatakan dengan jelas agar gambaran tentang perniagaan dapat difahami.


Latar belakang Perniagaan

Terdapat beberapa maklumat yang perlu ada dalam latar belakang perniagaan. Antara maklumat-maklumat yang perlu ada adalah seperti nama perniagaan, alamat perniagaan, alamat surat-menyurat, nombor telefon, bentuk perniagaan, kegiataan utama, tarikh mula atau hendak memulakan perniagaan, nombor pendaftaran perniagaan, modal permulaan, nama bank dan nombor akaun bank.

Latar Belakang Pemilik

Terdapat beberapa maklumat yang perlu ada dalam latar belakang pemilik. Antara maklumat-maklumat yang perlu ada adalah seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, umur, jantina, alamat tetap, nombor telefon, taraf perkahwinan, kursus yang pernah dihadiri, kemahiran, pengalaman, pekerjaan sekarang dan perniagaan lain yang pernah diceburi.


Latar Belakang  Projek

Bagi latar belakang projek pula maklumat mengenai lokasi perniagaan perlu dinyatakan, sebagai contoh kedudukan fizikal projek, alamat perniagaan. Aspek lain seperti bangunan dari segi jenis struktur, keadaan, bentuk, saiz serta nilai bangunan perlu dinyatakan dengan jelas.


Rancangan Organisasi

Rancangan organisasi merangkumi aspek-aspek pengurusan dan pentadbiran perniagaan peniagaan terutama aspek pengurusan pekerja dan yang berkaitan dengan perundangan yang perlu dipatuhi bagi membolehkan perniagaan beroperasi lancar dan sah. Antara komponen yang perlu ada dalam rancangan organisasi adalah pernyataan misi dan objektif organisasi. Bagi struktur organisasi pula perlu disediakan dalam bentuk carta organisasi. Jadual jawatan dan bilangan tenaga pekerja juga perlu diselaraskan dan dinyatakan dengan jelas.


Rancangan Pemasaran

Bahagian ini menghuraikan perancangan dan strategi pemasaran yang bakal dilaksanakan. Rancangan pemasaran merupakan aspek kritikal dalam sesebuah perniagaan yang boleh menentukan kejayaan perniagaan tersebut. Antara kandungan rancangan perniagaan adalah penerangan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan dengan mengaitkannya dengan kehendak dan keperluan pengguna, saiz pasaran dalam bentuk unit jualan atau Ringgit Malaysia atau kedua-duanya sekali. Selain itu juga, senaraikan status kekuatan serta kelemahan mereka dan nyatakan bahagian syer pasaran yang dicadangkan dan pesaing-pesaing utama. Ramalan jualan bulanan untuk tahun pertama perniagaan dan ramalan jualan tahunan untuk tahun ke 2 dan ke 3 turut dinyatakan. Nyatakan bentuk jualan samada secara tunai, kredit atau kedua-duanya sekali. Strategi pemasaran yang akan digunakan bagi mencapai jualan yang diramalkan. Contoh strategi barangan, strategi  harga, strategi promosi dan strategi edaran.

Rancangan Pengeluaran atau Operasi

Bahagian ini hanya perlu disediakan bagi perniagaan berbentuk pemprosesan atau pengeluaran. Proses pengeluaran disediakan dalam bentuk carta aliran proses bagi membolehkan pengusaha menggambarkan operasi yang akan dijalankan. Jumlah unit pengeluaran atau jam operasi perniagaan dilakukan dengan berpandukan ramalan jualan dalam Rancangan Pemasaran. Selain itu juga, keperluan bahan mentah bulanan perlu dinyatakan dalam satu jadual.


Rancangan Kewangan

Bahagian ini adalah mustahak kerana ia mempunyai semua maklumat kewangan yang terkandung dalam Bahagian Pentadbiran, Pemasaran dan Operasi. Maklumat ini perlu untuk menyediakan Kos Perlaksanaan Projek bagi mengetahui jumlah keseluruhan kos yang akan terlibat dalam memulakan projek.  Rancangan kewangan juga adalah untuk merancang bagi mendapatkan sumber-sumber kewangan bagi membiayai perlaksanaan projek tersebut. Dengan itu perlulah disediakan Sumber Pembiayaan Projek bagi meramal dan mengetahui kedudukan kewangan perniagaan dengan menyediakan Penyata Aliran Wang Tunai.  Keseluruhan kedudukan kewangan pada akhir tahun perakaunan dapat diketahui dengan menyediakan Kunci Kira-Kira. Selain itu juga dalam bahagian rancangan kewangan juga perlu disediakan Jadual Susut nilai Aset Tetap, Jadual Bayaran Balik Pinjaman (jika ada) dan Jadual Bayaran Ansuran Sewa Beli (jika ada).


Jadual Perlaksanaan Projek

Jadual ini disediakan untuk menunjukkan peringkat-peringkat kejadian yang akan berlaku terhadap perniagaan apabila perniagaan dilaksanakan. Pada kebiasaannya ia menunjukkan kemajuan operasi daripada peringkat idea kepada kenyataan. Jadual ini dipersembahkan dengan menggunakan carta yang akan menunjukkan dengan jelas kesemua aktiviti-aktiviti yang akan dibuat, bila aktiviti itu akan dilakukan dan bagaimana pula kaitan di antara aktiviti-aktiviti.


Rumusan

Berikan kenyataan yang menyakinkan pihak-pihak tertentu mengapakah projek ini perlu diteruskan atau pinjaman perlu diberi atau lesen perlu diluluskan dan sebagainya.



Lampiran dan Dokumen Sokongan

Antara maklumat dan dokumen sokongan  yang perlu dilampirkan ialah profil dan latar belakang kakitangan pengurusan penting, analisis mengenai risiko dan andaian-andaian yang digunakan ushawan dalam membuat perancangan. Sekiranya ada, perlu disertakan dokumen-dokumen bagi menyokong sesuatu kenyataan yang dinyatakan dalam badan utama Rancangan Perniagaan. Contohnya seperti Memorandum dan Tatacara Persatuan.

No comments:

Post a Comment