Tuesday, November 19, 2013

Usahawan



Usahawan

Usahawan bermaksud, sebagai penciptaan usaha niaga baru melalui empat dimensi utama iaitu individu, organisasi, persekitaran dan proses yang dibantu oleh rangkaian kerjasama kerajaan, pendidikan dan institusi (Kuratko dan Hodgets, 1995). Usahawan juga sebagai seorang yang mampu mengenalpasti dan mengambil peluang daripada perubahan ekonomi, menyediakan keperluan perniagaan, bertanggungjawab dalam pengurusan dan mengambil risiko serta memperbaiki teknik pengurusan, strategi dan lain-lain bidang yang sejajar dengan perubahan teknologi.

Menurut Sharida Zaina (2005), perkataan usahawan mula diperkenalkan dalam tahun 1970 iaitu semasa pelancaran Dasar Ekonomi Baru. Ianya bukanlah satu perkara yang baru kepada kita. Pada masa zaman Melayu Melaka, mereka yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan dipanggil sebagai pedagang manakala pada tahun 1900an mereka dikenali sebagai peniaga.

Selain itu, perkataan usahawan bermaksud individu yang menubuhkan perniagaan dan menguruskannya untuk mendapatkan untung dan untuk terus berkembang (Carland, 1984). Usahawan bermaksud individu yang berupaya dan berkemampuan untuk menjalankan aktiviti seperti mengenalpasti peluang perniagaan, menguruskan perniagaan dan meningkatkan pembangunan ekonomi. (Yep Putih, 1989)

Kesimpulannya, boleh kita nyatakan bahawa usahawan adalah seorang yang mengambil risiko memulakan atau menubuhkan sesuatu perniagaan atau perusahaan dan mengusahakannya. Seseorang yang telah memulakan perniagaan atau telah membeli perniagaan yang dimulakan oleh orang lain juga dikenali sebagai usahawan. Usahawan juga adalah seorang pengurus yang menerajui perniagaannya dan dapat menuntut hak keempunyaan ke atas perniagaan tersebut. Oleh itu ia menanggung risiko perniagaan. Usahawan mempunyai wawasan dan mengembangkan perniagaan untuk kemakmuran masyarakat. Ia adalah seseorang yang inginkan kebebasan dalam perniagaan, membuat keputusan sendiri dan seterusnya ingin berjaya atas usaha sendiri.

No comments:

Post a Comment