Tuesday, November 19, 2013

Kepentingan Rancangan Perniagaan



Kebanyakkan usahawan yang kurang yakin dan enggan untuk menyediakan rancangan perniagaan kerana mereka merasakan bahawa itu adalah perkara yang remeh dan merumitkan. Ini kerana, mereka tidak mengetahui akan kepentingan rancangan perniagaan dan pada kebiasaannya usahawan yang baru mewujudkan perniagaan hanya akan menyerahkan 100% tugasan penyediaan rancangan perniagaan kepada individu yang telah mereka upah (Ismail et al., 2008).

Menurut Ismail et al. (2008) telah mentakrifkan rancangan perniagaan sebagai satu dokumen bertulis yang menerangkan visi keusahawanan dan bagaimana visi tersebut dapat diterjemahkan kepada satu bentuk perniagaan yang menguntungkan usahawan. Kejayaan menyediakan rancangan perniagaan yang formal adalah sangat mustahak kerana ia dapat menggalakkan usahawan untuk merangka matlamat yang spesifik dan perancangan yang konkrit demi mencapai visi perniagaannya.  Rancangan perniagaan bukan sahaja digunakan untuk tujuan memohon pembiayaan, tetapi dokumen ini juga penting disediakan untuk tujuan-tujuan berikut.  Antaranya:


Memahami Bidang Perniagaan Lebih Mendalam

Kepentingan menyediakan rancangan perniagaan adalah untuk memberi peluang kepada usahawan memikirkan keseluruhan proses perniagaan dan menilai idea atau projek perniagaan dengan teliti dan terperinci agar dapat mencapai matlamat. Ini kerana rancangan perniagaan mempunyai maklumat lengkap yang berkaitan dengan perniagaan yang ingin usahawan laksanakan. Seandainya seorang usahawan menjalankan perniagaan tanpa rancangan perniagaan, maka usahawan akan menghadapi masalah dalam mengetahui keseluruhan proses perniagaan mereka.


Panduan Mengendalikan Perniagaan

Kepentingan rancangan perniagaan seterusnya pula adalah menjadi garis panduan yang teratur dan cekap supaya perjalanan perniagaan yang lebih lancar dan tersusun. Usahawan yang teliti dan cekap akan memastikan bahawa rancangan perniagaan mereka lengkap dan akan dijadikan garis panduan sepanjang mengendalikan perniagaan. Selain itu, usahawan juga akan merujuk kepada rancangan perniagaan dalam membuat keputusan serta menyelesaikan masalah agar tidak terkeluar daripada landasan matlamat asal menjalankan perniagaan.


Pengagihan Sumber

Rancangan perniagaan juga membantu usahawan menganggarkan keperluan sumber-sumber dan mengagihkan sumber-sumber perniagaan yang ada dengan sistematik dan lebih jelas. Ini kerana rancangan perniagaan mengandungi beberapa jenis rancangan seperti rancangan pentadbiran yang menguruskan sumber manusia, rancangan kewangan yang menguruskan sumber kewangan, rancangan pemasaran yang menguruskan sumber pemasaran produk dan sebagainya. Rancangan perniagaan juga dijadikan panduan tentang pengagihan sumber yang telah dirancang dari awal menjalankan perniagaan.


Meningkatkan Motivasi

Rancangan perniagaan juga dapat meningkatkan motivasi usahawan agar dapat membuat ramalan tentang perniagaan yang diceburi berdasarkan maklumat yang terdapat dalam rancangan perniagaan. Sebagai contoh rancangan pengeluaran dalam rancangan perniagaan yang membantu pengusaha menganggarkan jumlah pembelian bahan mentah dan berapa jumlah output yang akan dikeluarkan berdasarkan pembelian yang dibuat. Oleh sebab itu, rancangan perniagaan penting bagi sesebuah perniagaan dijalankan. Selain dari rancangan pengeluaran, rancangan lain juga seperti rancangan kewangan yang mengawal keluar masuk tunai dalam perniagaan, rancangan pemasaran yang menyediakan strategi pemasaran produk dan sebagainya.


Mengurangkan Risiko Kegagalan

Rancangan Perniagaan memberi panduan kepada usahawan untuk mengurangkan risiko kegagalan perniagaan dengan membuat anggaran dan perkiraan mengenai hasil dan kos yang terlibat dalam perniagaan yang dirancangan. Justeru, usahawan akan mengkaji dan menilai daya maju perniagaan yang dirancang (berasaskan maklumat terkini) sebelum membuat sesuatu keputusan untuk memulakannya. Secara tidak langsung, penyediaan rancangan perniagaan memaksa usahawan mengumpul maklumat terkini dalam pasaran.

No comments:

Post a Comment